KARANGAN DIMENSI KELUARGA
Assalamualaikum,
Sila baca karangan ini untuk persediaan peperiksaan Percubaan dan spot Sebenar
( From Ishakmdshah.blogspot.com )
Jasa ibu bapa perlu dikenang. Namun begitu, terdapat sebilangan kecil daripada mereka yang berjaya dalam hidup sering mengabaikan jasa dan budi ibu bapa.
Nyatakan perkara-perkara
yang boleh kita lakukan untuk membalas jasa
mereka.
Tersebut kisah
dalam cerita klasik Melayu, seorang anak muda yang bernama Tenggang. Tenggang anak tunggal kepada seorang ibu
tunggal. Hidup mereka dirundung miskin. Pada suatu hari, Tenggang telah memohon
keizinan daripada ibunya untuk keluar merantau dengan harapan untuk mengubah
kehidupan yang melarat itu. Nasib
Tengggang ternyata baik kerana dengan sikapnya yang ringan tulang dan amanah,
dia telah diambil sebagai anak angkat oleh seorang saudagar kaya. Akhirnya, Tenggang telah menjadi menantu
kepada saudagar tersebut. Masa berlalu, Tenggang kini bukan lagi anak hingusan
tetapi seorang saudagar ternama.
Malangnya, dek diselimuti kemewahan dan limpahan kekayaan, ingatan
Tenggang kepada ibunya telah mula luput
Tanpa diduga, dalam suatu pelayaran,
kapal Tenggang berlabuh di sebuah pelabuhan berhampiran kampungnya
dahulu. Mendengar berita tersebut, si
ibu yang telah sekian lama merindui anak tersayang menerpa menuju ke bahtera Tenggang. Alangkah hibanya hati ibu, anak yang selama ini menjadi buah hati pengarang jantung telah mengusir
dan menendang si ibu kononnya ibu tua yang tidak sedar akan diri mahu mengambil
kesempatan daripada kekayaannya. Namun,
tuhan lebih mengetahui, sikap buruk Tenggang dibalasi musibah, kapalnya
tenggelam dipukul gelombang besar. Tenggang
mati ditelan laut dalam keadaan diri
yang berpalut Lumpur dan dosa.
Demikianlah secebis kisah daripada ribuan perbuatan anak-anak keji yang
tidak mengenang jasa ibu bapa apabila mereka sudah benar-benar berjaya. Dengan trgedi malang itu, sudah sewajarnya
kita mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut dan berusaha untuk
menumpahkan kasih sayang kepada ibu bapa yang telah bersabung nyawa untuk
membesarkan kita sehingga menjadi orang yang berjaya.
Sebagai anak yang telah mengecapi nikmat hasil pengorbanan ibu bapa, maka kita
hendaklah menjadikan mereka sebagai
orang pertama dalam apa jua urusan hidup kita.
Seandainya merekalah orang yang pertama kita cari dalam masa kesusahan
maka tidak sewajarnya mereka kita lupakan apabila kita mencapai sebarang kejayaan. Sikap ini perlu kerana merekalah yang
melahirkan dan membesarkan kita. Selain itu, mereka juga yang mendidik dan memberi ilmu sehingga kita menjadi manusia yang
berguna. Justeru, apabila kita berjaya
mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan atau berjaya dalam kerjaya maka ibu bapalah orang
pertama yang perlu kita nobatkan sebagai pencetus kepada semua kejayaan
tersebut. Pada waktu ini, ibu bapa akan
berasa tiada nikmat yang paling besar di dunia ini apabila anak-anak memulangkan
segala kejayaan yang diraih adalah bertitik tolak daripada pengorbanan mereka.
Bagi mengenangkan segala jasa dan pengorbanan mereka
juga, apalah salahnya jikalau kita cuba
menyelami hati kecil mereka pada hari-hari tertentu yang istimewa dalam hidup
mereka. Hari tersebut seperti hari ulang tahun perkahwinan, hari jadi dan hari-hari perayaan. Pada hari yang amat bermakna itu,
hulurkanlah hadiah istimewa untuk dijadikan santapan rohani mereka. Walaupun hadiah tersebut sekadar bernilai
beberapa rial tetapi memadai untuk
menjadi simbolik kepada nilai kasih sayang mereka kepada kita bak laut yang
tidak bertepi itu. Atau pun, pada
hari-hari istimewa tersebut bawalah mereka untuk melancong atau berziarah rakan
kenalan. Kepada yang beragama Islam pula
berilah hadiah menunaikan Fardu Haji ke Mekah.
Kita juga patut meniru teladan baik beberapa individu yang telah berjaya
yang membawa dan memperkenalkan ibu bapa
dalam majlis-majlis besar yang mereka menjadi tetamu istimewa. Bayangkanlah betapa linangan air mata ibu
bapa pada waktu itu pasti menjadi pembasuh api neraka. Ingatlah, doa restu dan kepuasan jiwa mereka
akan menjadi titian kejayaan kepada kita sama ada di dunia atau di akhirat.
Apabila ibu bapa sudah menjelang usia tua, sudah
menjadi tanggungjawab mutlak kepada kita untuk mengambil tahu keperluan hidup
mereka seperti makan minum, kesihatan ubat-ubatan dan tempat tinggal. Janganlah dek terlalu memburu kejayaan hidup
di dunia, ibu bapa dibiar terlantar di
rumah-rumah orang tua. Elakkanlah hidup
menjadi dedalu masyarakat, ibarat kacang lupakan kulit. Pada usia tersebut , ibu bapa tidak pernah
menuntut sesuatu yang berlebih-lebihan sebaliknya mereka mengharapkan ihsan dan
kasih sayang. Cara penyelesaian terbaik
adalah setiap anak perlulah membuat giliran untuk melihat kebajikan ibu bapa
atau pun jikalau keadaan terlalu mendesak ambillah orang gaji untuk menjaga
mereka.
Setiap ibu bapa
sentiasa menaruh harapan untuk melihat anak-anak mereka menjadi manusia paling
berguna kepada nusa, agama dan masyarakat.
Sebagai pelajar, inilah masa terbaik untuk kita membuktikan yang terbaik
kepada mereka. Belajarlah dengan
bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar terbilang dan apabila berjaya dengan
cemerlang dalam peperiksaan maka itulah sebenarnya hadiah yang tidak ternilai
untuk kita mengenang jasa mereka. Pada
masa itu kita dapat melihat lelehan air mata gembira mereka bagaikan tidak
boleh ditahan-tahan. Seterusnya, jagalah
hati mereka dengan cara tidak menghampiri atau terlibat dengan kerja-kerja yang
tidak baik seperti menjadi samseng, bercakap keji, melepak, dadah dan seribu
satu macam gejala kutu masyarakat yang terlalu keji di sisi agama dan
moral. Hati ibu bapa pasti akan lebur
apabila anak-anak tercampak ke dalam kancah kehinaan seperti ini.
Mafhum (maksud) daripada sepotong hadis Rasulullah
SAW yang bermaksud apabila mati seseorang anak Adam itu maka terputuslah segala
amal baiknya kecuali tiga yang masih kekal
Ketiga-tiga yang tersebut itu ialah, sedekah dan derma untuk faedah
umum, anak-anak yang baik yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa dan
ilmu yang bermanfaat yang diajarkan untuk faedah manusia. Janganlah kita putuskan hubungan kasih sayang
kepada ibu bapa hatta mereka sudah meninggal dunia. Doakanlah kesejahteraan mereka siang dan
malam setelah mereka pergi meninggal kita.
Ibu engkaulah ratu hati
bilaku berduka
engkau hiburkan selalu
Kenangilah jasa
ibu bapa selama hidup dan mati mereka.
Nilai diri ibu bapa tidak akan tertukar dengan harta dunia walaupun
segunung emas. Ingatlah syurga di bawah
telapak kaki ibu.
No comments:
Post a Comment